Monday 26 April 2010

Menerima dengan hati terbuka~

بسم الله الرحمن الرحيم

---


Dari dulu, saya sangat suka melihat video-video syeikh-syeikh Islam yang berjaya mengajak manusia kembali meng'ubudiyahkan diri kepada Allah. Terutama video daripada negara-negara barat.

Saya sangat mengkagumi mereka yang berjaya menambat hati manusia yang lain untuk kembali tunduk dan patuh kepada Allah. Kadang kala, bila saya menonton dan mendengar ucapan-ucapan para mu'alaf yang betul-betul berazam untuk menerima Islam, boleh menitis air mata saya.

Rasa bersyukur sangat-sangat kepada Allah kerana memberikan hidayah kepada mereka. Terasa betapa beruntungnya ganjaran yang Allah berikan kepada syeikh-syeikh yang berjaya menambat hati mereka melalui pintu mereka.

Kadang kala, terasa juga kalau lah saya punya kekuatan seperti syeikh-syeikh tersebut untuk sama-sama mengajak kenalan-kenalan saya yang non-muslim kepada Islam, saya pasti, sayalah yang paling gembira bila mereka menerima. Mana tidaknya, orang menerima hidayah Allah melalui pintu kita.

Tambahan lagi, bila menonton video-video tersebut, saya rasa bertambah bersemangat untuk buat dakwah. Maklum la, hidup dalam masyarakat yang majoritinya kurang memahami Islam, sangat menjadikan jiwa lesu dan kurang bermotivasi. Maksud saya, ramai yang kulitnya Islam tapi di dalam, saya tidak pasti bagaimana.

Siapa yang salah?

hmm...mungkin orang-orang macam saya yang rasa memahami Islam tapi susah untuk kongsikan. Mungkin tak punya kekuatan untuk kongsikan dengan mereka. hmm...banyak sangat cerita pasal perkara furu' (cabang) banding perkara asas (akar). Mungkin...banyak sangat alasan.

Tapi apa pun, satu perkara yang pasti, dalam hati sanubari saya yang fitrahnya terlalu inginkan kebaikan pada diri sendiri juga kebaikan buat sahabat-sahabat yang dikasihi, benar-benar mengharapkan agar Allah memberikan hidayah kepada semua agar berusaha untuk mendalami dan memahami lebih sedikit tentang Islam.

Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita. Moga Allah membuka pintu hati kita untuk menerima hidayah-Nya. Moga Allah berikan kita kekuatan untuk memahami tentang Islam.

Ameen~
---
Wallahu'alam

Teruskan membaca...

Friday 23 April 2010

Maaf~

بسم الله الرحمن الرحيم

---

Setiap hari akan ada sahaja kesilapan yang dilakukan oleh kita. Sedar tak sedar, kesilapan itu kadang kala melukakan hati mereka yang terdekat dengan kita.

Satu kelemahan manusia, kita tidak tahu apakah isi hati orang lain. Kadang kala dengan sedikit kesilapan boleh menimbulkan pertikaian yang cukup besar.Daripada kawan boleh jadi lawan.

Tambahan lagi bila hati sememangnya sudah pun bersarang dengan dendam dan benci, jangankan kawan, bahkan pertalian darah pun boleh diputuskan.

Kebiasaannya pertelingkahan besar yang berlaku semuanya datangnya dari perbezaan yang kecil. Namun demikian, kerana semua pihak inginkan pendiriannya sahaja yang tertegak, berlakulah pertikaian yang besar yang kadang kala boleh meletus menjadi perang. Kenapa ini berlaku? Kenapa daripada kawan boleh lawan?

hmm. . .mudah sahaja. Kerana manusia sukar memberikan kemaafaan. Selalunya bila ada yang silap, kita pasti akan pendam di hati. Menjadikan bara dihati terus menyala. Lantas, bila masanya tiba, hati itu akan terbakar dengan api kemarahan.

Adakah ego menjadi sebab kita sukar memberikan kemaafan? Adakah kita merasakan diri kita terlalu mulia untuk maafkan orang lain?

Suatu ketika dahulu, Nabi Muhammad SAW sering kali ditemplak, dihina, dicaci, dibaling batu oleh orang-orang Quraisy. Namun apakah jawapan baginda SAW tatkala Jibril datang kepadanya untuk hukum kaum Quraisy?

"Bahkan aku hanya berharap agar Allah kurniakan keturunan daripada zuriat mereka yang akan menjunjung kalimah tauhid."

Sabarnya baginda begitu tinggi. Kerendahan diri baginda juga cukup hebat. Hingga menyebabkan baginda lebih mudah memaafkan berbanding membenci dan berdendam.

Memaafkan seseorang sudah tentu bukanlah perkara yang mudah. Apatah lagi sekiranya kesalahan yang dilakukan terlalu besar bagi kita. Tapi dengan kesabaran dan pengharapan kepada Allah, ia akan menjadikan kita lebih tenang bila kita memaafkan orang yang menyakiti kita.

Memaafkan juga mengukuhkan ikatan dan menyemarakan kasih sayang. Bila wujudnya sikap dan perasaan yang positif dalam diri, ia akan menjadi kita lebih bermotivasi untuk lalui segala mehnah dan tribulasi kehidupan. Ummat ini pun pasti akan mudah untuk bersatu hati dan menangani segala permasalahan dengan baik.

*P/s : Maafkan saya~ =)
---
Wallahu'alam

Teruskan membaca...

Tuesday 13 April 2010

Kesudahan amal kita~

بسم الله الرحمن الرحيم

---



Kalaulah satu hari nanti, bila kita bangkit daripada tidur yang lena, sedar-sedar, 2 malaikat Allah sudah pun bersedia disebelah kita untuk menyoal tentang kehidupan kita.

Dalam keadaan yang entah sedia entah tidak, apakah kita sangka kita boleh menjawab soalan-soalan mereka? Sekali pun soalan-soalannya telah pun bocor ketika di dunia, namun demikian, siapakah yang akan menjawab soalan-soalan ni untuk kita?

Mulutkah? atau amal didunia?

Kalau lah selama kita masih hidup didunia hanya bertuhankan harta dan kekayaan, hiburan yang menjadi halwa telinga, majalah-majalah sensasi yang menjadi tatapan harian, gosip-gosip panas menjadi perbualan harian, dan kalau lah hidup lebih ekstrim, zina menjadi agenda nafsu, arak menjadi minuman utama, agak-agak boleh jawab ke tak soalan-soalan yang bakal dikemukan kepada kita?

Kalau lah pada ketika itu, mulut terkumat-kamit nak jawab tapi tidak keluar-keluar langsung apa-apa kalimah, yang keluar hanyalah,

"aku...aku...aku tidak TAHUUU!!!!!!"

BAM!! BAM!! BAM!!

Remuk jasad kita dipukul malaikat. Hancur segala anggota disebat.

Tidak ngerikah? Tidak terseksakah? Tapi itu baru sahaja hentian pertama sebelum destinasi terakhir. Bagaimana pula dengan keadaan 'NARRUJAHANNAM' Allah? Tak berkali-kali lebih dahsyatkah?

"Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api Neraka, kekallah dia di dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghina." [An-Nisa', 4 : 14]

Tapi kan, semua tu tak semestinya berlaku, andai kata hidup ni kita cuba hiasi dengan amal-amal akhirat. Bukan sekadar laksanakan yang wajib semata, tapi cuba dipertambahkan lagi dengan yang sunat. Akhlak diperbaiki. Amal ditambah. Hati diikhlaskan, semuanya untuk Allah semata.

"Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam." [Al-An'am, 6 : 162]

Bayangkan soalan-soalan yang dikemukan, semuanya dapat kita jawab dengan cemerlangnya. Kenapa? Sebab didunia kita telah pun bersedia dengan segala macam amal yang menuruti perintah Allah.

Maka tak wajarkah kita dapat nikmat syurga Allah janjikan?

"Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firmannya) : "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai ganguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur Syahid dalam perang Sabil) sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-sebaiknya (bagi mereka yang beramal salih)"." [Ali-'Imran, 3 : 195]

"Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari sisi Allah. Dan (ingatlah), apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang (yang taat yang banyak berbuat kebajikan)." [Ali-"imran, 3 : 198]

"Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat sambutan tetamu (yang meriah dengan nikmat pemberian) dari sisi Allah. Dan (ingatlah), apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang (yang taat yang banyak berbuat kebajikan)." [Al-A'raf, 7 : 42]

Jadi, kenapa kita selalu merugikan kehidupan kita dengan khayalan semata-mata? Tak nak ke kita berusaha untuk dapatkan benda yang kekal selama-lamanya? Benda yang Allah janjikan kenikmatan yang cukup hebat.

Dengan itu, saya ajak kita sama-sama kembali muhasabah diri. Tanya diri sendiri,

"Semalam, apa yang telah saya lakukan untuk dekatkan diri dengan Allah?"

"Hari ni pula, apa yang saya boleh buat untuk dekatkan diri dengan Allah?"

Mulakanlah hari dengan niat yang tulus hanya kerana ingin mencari redha Allah. Mulakan dengan Bismillah dengan beramal lah dengan sebaik mungkin.

Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk konsisten dalam beramal.
---
Wallahu'alam



Teruskan membaca...

Monday 5 April 2010

Rahmat Ujian~

بسم الله الرحمن الرحيم

---

Hutan, sungguh engkau banyak memberikan pengajaran buatku...

Sungguh memang tak disangka, bila kita merancang sesuatu dengan baik tapi hasilnya selalunya tidak seperti yang kita rancang, kadang-kadang ia bertentangan dengan kehendak kita, kadang-kadang, ia lebih baik daripada kehendak kita.

Tambahan lagi, dalam keadaan yang tidak diduga, kita diuji dengan kepayahan dan keberatan, yang pada pandangan mata kasar, bagaimana boleh kita tanggung keberatan ini? Tapi sedarkah kita, semua itu bertujuan untuk kita buktikan segala kata-kata kita?

Kalau sebelum ini kita banyak bercerita fasal tawakal, fasal sabar, fasal ukhuwah, maka bila datangnya ujian Allah, kita akan diminta untuk buktikan setiap kata-kata kita dengan penuh keimanan.

Apa pun, segala yang Allah tentukan sama ada kesenangan kita, kesukaran kita, semuanya pasti ada hikmah yang tersembunyi. Tenangnya hati bila kita redha dengan ketentuan ilahi.

Rahmat Ujian - Mestica

Dalam derita ada bahagia
Dalam gembira mungkin terselit duka
Tak siapa tahu
Tak siapa pinta ujian bertamu

Bibir mudah mengucap sabar
Tapi hatilah yang remuk menderita
Insan memandang
Mempunyai berbagai tafsiran

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

c/o
Harus ada rasa bersyukur
Di setiap kali ujian menjelma
Itu jelasnya membuktikan
Allah mengasihimu setiap masa
Diuji tahap keimanan
Sedangkan ramai terbiar dilalaikan
Hanya yang terpilih sahaja
Antara berjuta mendapat rahmatNya

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

c/o

Segala takdir
Terimalah dengan hati yang terbuka
Walau terseksa ada hikmahnya

repeat c/o 2x

Allah rindu mendengarkan
Rintihanmu berpanjangan
Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi
Segala ujian diberi
Maka bersyukurlah selalu

*p/s: indahnya hidup dalam keimanan~
---
Wallahu'alam

Teruskan membaca...

Friday 2 April 2010

Pidato umum Al-Quds~



Pidato Al-Aqsa di Speaker Corner, Taman Agora UTM pada 26/04/2010.

---
بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Rabbul 'Alamin.

Dalam senang kita melalui hidup sehari-harian dibumi UTM ini, pernah atau tidak kita terfikirkan tentang apa yang berlaku dibumi Al-Quds sana? Pernah atau tidak kita memahami dan mengerti penderitaan saudara-saudara kita dibumi Palestin sana?

Saudara saudari yang dikasihi,

Sedar tak sedar, kini sudah lebih 60 tahun bumi Palestin dijajah oleh puak Zionis laknatullah. Sepanjang 60 tahun itu, begitu banyak penderitaan dan penyeksaan yang dialami saudara-saudara kita disana. Banyak nyawa telah melayang hanya kerana mereka berusaha untuk mempertahankan tanah air mereka daripada terus dijajah oleh puak zionis.

Lebih-lebih lagi, dengan ketiadaan khilafah Islamiah, Imam KITA yang sepatutnya melindungi KITA daripada dicela dan dihina, telah pun dirampas dan dirobek authoriti khilafah oleh puak zionis dan konco-konconya pada tahun 1924. Tambahan lagi dengan perpecahan yang berlaku dalam kalangan KITA, menjadikan KITA begitu mudah diinjak-injak dan dihinakan oleh mereka. KITA ini seolah-olah telah hilang identiti dan maruah mulia yang diiktiraf oleh Allah, Rabbul 'alamin.

Saudara saudari yang budiman,

Kenapa ini boleh berlaku? Sedangkan suatu ketika dahulu, KITA pernah memayungi dunia ini dengan perundangan Ilahi. KITA pernah membawa keamanan kepada manusia sejagat. KITA pernah membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah. Tetapi kini, KITA hanya ibarat pengemis-pengemis miskin di tepi jalanan.

Hal ini sangat bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW daripada Thauban,

"Akan datang suatu masa kamu akan dikerumuni oleh bangsa-bangsa seperti pelahap-pelahap mengerumuni makanannya". Sahabat bertanya: "Adakah disebabkan kami sedikit pada hari itu?" Baginda bersabda: "Bahkan kamu pada ketika itu banyak sekali! Akan tetapi kamu umpama BUIH seperti buih air bah. Dan Allah akan mencabut dari dada musuh kamu kegerunan terhadapmu. Dan Dia meletakkan di dalam hati kamu AL-WAHNU" Sahabat bertanya: "Wahai RasuluLlah, apakah al-Wahnu?" Baginda bersabda: "CINTAKAN DUNIA DAN BENCIKAN KEMATIAN." (Abu Daud, Ibnu Majah).

Sungguh, hadis ini memberikan pengertian yang cukup mendalam bagi KITA, iaitu ummah akhir zaman. Ia cukup releven dengan apa yang berlaku terhadap KITA. Bagaimana Rasulullah SAW menyebutkan faktor yang menjadikan KITA ini lemah.

1. Kosongnya hati inidividu muslim dari iman yang mendalam. Rasulullah SAW mengumpamakan diri KITA seperti buih. Kosong di dalam dan yang wujud hanyalah kulitnya sahaja. Andai kata kulitnya pecah, maka hilanglah buih tersebut.

2. Rasulullah SAW juga menyebut yang KITA ini terlalu cintakan dunia. Betapa ramainya daripada KITA pada hari ini terlalu disibukkan dengan urusan dunia sehingga KITA melupakan tanggungjawab akhirat. KITA terlalu mencintai perhiasan-perhiasan dunia sehingga KITA akan rasa sempit kalau lah KITA tidak boleh memiliki kerja-kerja yang lumayan, jawatan yang tinggi, kuasa dan wanita. KITA seolah-olah merasa hidup ini tidak akan berguna andai dunia ini tidak dimiliki.

3. Kemudian, baginda SAW juga menyebut bahawa hari ini, KITA terlalu takut untuk mati. Ini menunjukkan semangat jihad dan perjuangan telah hilang daripada dada ummah. Disebabkan hilangnya semangat jihad, ummah ini telah hilang kekuatannya dan KITA ibarat singa yang garang yang telah bertukar menjadi anak kijang.

Hadirin yang dikasihi,

Tidakkah KITA merasakan, betapa malangnya diri KITA andai kata KITA terus bergelumang dalam keadaan sebegini? Justeru, seharusnya KITA mengeluarkan diri KITA daripada keadaan yang hina ini dengan sesegera yang mungkin. Jika tidak, dosa pasti akan menimpa diri KITA lantaran kezaliman yang menimpa sahabat-sahabat KITA di kawasan-kawasan yang tertindas.

Sesungguhnya, saudara KITA dari HAMAS dan gerakan jihad di Palestin, telah mewakili kita bagi menghadapi pertempuran ini dengan jiwa dan raga mereka, dengan jasad dan darah mereka. Mereka mengorbankan segala apa yang mereka miliki untuk mempertahankan harta kepunyaan KITA. Dan mereka telah melakukan perkara ini sejak puluhan tahun yang lalu. Ketika Gaza di serang pada tahun 2008, mereka lah kumpulan yang pertama menginfaqkan diri mereka untuk melawan dan menentang musuh-musuh Allah.

Justeru, apakah KITA di Malaysia ini tidak perlu melakukan apa-apa untuk saudara-saudara KITA di sana? Apakah KITA hanya berpeluk tubuh dan memerhati sahaja? Sudah tentu tidak! Sudah tentu KITA juga perlu melakukan sesuatu. Sesuatu yang berada dalam kemampuan dan kapasiti KITA. Kerana KITA kena ingat, KITA ibarat satu badan, jika sakit tangan sebelah kanan, seluruh badan akan terasa. Rasulullah SAW bersabda,

"Mu'min dengan mu'min itu umpama satu bangunan, sebahagiannya memerpkukuhkan sebahagian yang lain." (Bukhari)

Justeru, apakah perkara yang boleh KITA sumbangkan buat saudara KITA di Palestin? Apakah peranan yang boleh dilakukan oleh KITA lebih-lebih lagi sebagai mahasiswa?

Wahai muslimin dan muslimat yang dikasihi,

Sungguh, saya ingin membawa kepada anda terhadap 2 perspektif yang boleh KITA sama-sama lakukan dan jayakan.

1. Tindakan untuk kesan jangka masa yang pendek
2. Tindakan untuk kesan jangka masa yang panjang

Untuk tindakan jangka masa yang pendek serta kesannya boleh dilihat dengan cepat, saya menyeru saudara-saudara untuk,

1. mengambil tahu tentang situasi dan perkembangan terkini berkaitan apa yang berlaku di bumi Al-Quds sana. Capailah maklumat dan berita-berita daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai seperti palestine-info, palestinekini.info, ikhwanweb dan lain-lain. Dan saya juga mohon, jangan mudah terpedaya dengan maklumat daripada media barat.

2. Kemudian, sebarkanlah maklumat-maklumat yang didapati kepada sahabat-sahabat KITA seberapa banyak yang mungkin. Sedarkan mereka tentang apa yang sedang berlaku terhadap ummah ini.

3. Berikanlah sumbangan berupa kewangan mengikut kemampuan kepada NGO-NGO yan gboleh dipercayai seperti AQSA SYARIF dan Mercy Malaysia.

4. Kemudian, KITA hendaklah bersatu hati dengan semua golongan ummat tauhid ini. Dan kalau boleh, lupakanlah segala perselisihan-perselisihan yang berkaitan hal-hal furu' (cabang). Tumpukan pada perkara yang lebih utama iaitu kesatuan ummah.

5. Berkerjasama dengan semua pihak yang mempunyai cita-cita dan hasrat yang sama.

6. Memperbanyakkan doa kepada Allah khasnya buat saudara-saudara KITA di Palestin dan ummah ini secara amnya. Selitkanlah doa-doa ini kedalam solat KITA, wirid KITA, Ma'thurat KITA.

7. Memperbanyakkan taubat kepada Allah atas dosa-dosa yang silam. Mudah-mudahan iman akan mudah mekar dihati, lalu terhakisnya penyakit al-Wahnu yang Rasulullah SAW sebut.

8. Boikotlah barangan-barangan yang jelas menyumbang kepada pembangunan zionis dan pembunuhan ummat Islam di Palestine. Saya ingin highlightkan 4 product utama yang sememangnya mesti KITA boikot kerana mereka terang-terang mengatakan sokongan mereka terhadapa zionism iaitu MCDONALD, NESTLE, COCA-COLA dan juga L'Oreal. Boikotlah atas dasar keimanan. Kerana KITA menyayangi ummah ini.

Kemudian, untuk jangka masa panjang pula, supaya ummah ini keluar daripada keadaan yang hina ini selamanya, saya menyeru agar KITA,

1. berusaha untuk memahamkan diri KITA dengan Deen yang mulia ini. Carilah kefahaman kerana Rasulullah SAW bersabda, "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya, maka Allah memberikan kefahaman Ad-Deen kepadanya." (HR Syaykhan)

2. Kemudian, carilah dan bergabunglah dengan mana-mana persatuan Islam yang dirasakan mampu mempercepatkan proses memahami Ad-Deen ini.

3. Seterusnya, bersama-samalah dengan persatuan-persatuan Islam yang mampu dengannya terdidik keimanan yang mendalam, terbentuknya peribadi yang teratur dan berdisiplin dan juga terlaksananya amal yang berterusan. Kerana akhirnya, KITA ingin ummah ini tidak lagi disakiti dan dizalimi oleh sesiapapun selama-lamanya.

4. Dan buat persatuan-persatuan Islam dibumi UTM ini, marilah KITA sama-sama memperkasakan da'wah dan tarbiyyah agar pada masa hadapan, zionis dan musuh-musuh Allah yang lain tidak akan mampu untuk sentuh KITA walau sedikit pun, insya Allah.

Saudara saudari pencinta ummah sekalian,

Akhir sekali, saya mewakili Kelab Iqra' menyeru kepada semua pihak biar daripada kalangan mahasiswa mahu pun kakitangan, agar KITA bersama-sama secara berusaha ke arah memperbaiki ummah sama ada dalam jangka masa yang pendek mahu pun yang panjang. Kerana ini adalah tanggunjawab KITA bersama. Saudara-saudara KITA di Palestin telah menyelesaikan janji-janji mereka pada Allah dan mereka terus menunggu kememangan yang Allah janjikan pada mereka,

"Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." [Al-Ahzab, 33 : 23]

sesungguhnya Allah menjanjikan kemenangan untuk KITA,

"Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat)," [Al-Ghafir, 40 : 51]

maka bergembiralah kerana janji Allah itu pasti. Islam akan kembli menaungi bumi ini. Islam akan terus mekar dihati KITA selama-lamanya.

ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!! ALLAHU AKBAR!!
---
Wallahu'alam

Teruskan membaca...