Tuesday 26 January 2010

Tuesday 19 January 2010

Memberi makan pada yang lapar~

بسم الله الرحمن الرحيم


Selalunya bila kita lapar, kita akan cari makanan. Untuk apa?

Untuk isi perut supaya asid-asid dalam perut boleh bertindak dengan baik. Kalau tidak, jadi gastrik. Satu lagi, nak berikan tenaga kepada jasad supaya boleh berkerja dengan mantap.

Biasanya juga, kita akan cari makanan yang sedap-sedap untuk makan. Kalau ada pilihan antara maggi dan KFC (free of chas), sudah tentu yang paaaaaling sedap akan dipilih. Al-maklum la, nafsu hanya pentingkan yang terbaik.

Tapi pernah atau tidak kita terfikir, dalam diri kita, terdapat satu sumber kekuatan lain yang boleh jadi lapar dan kenyang sama seperti jasad kita? atau memang kita dah lupa? ish3x...

Sebagai peringatan, kita ada ruh. Satu element yang sangat penting. Tanpa ruh, maka jasad tidak akan hidup. Tapi masalahnya, ruh kita selalu kelaparan dan kehausan. Kenapa jadi macam ini ye?

Sampai satu tahap, walau pun ruh kita saaaaaaangat lapar, kita dah jadi 'kebal' daripada kelaparan tersebut sampai tak rasa apa pun dah. Sayang sekali.

Kalau lah manusia mengerti yang diri mereka mempunyai 2 sumber kekuatan yang utama, kemudian di isikan dua sumber ini, sudah tentu gerak kerja mereka 2x lebih efisyen, 2x lebih mantop dan 2x lebih berkesan berbanding jika mereka hanya isi salah satu. Bahkan, boleh jadi berkali-kali lebih mantop sebenarnya kerana dibantu oleh satu kuasa yang Maha Hebat iaitu daripada Allah. Cantik bukan?

Cara nak isi? Banyak sudah tunjuk ajar yang diberikan. Sunnah Ar-Rasul SAW pun saaaangat banyak. Petunjuk dalam al-Quran juga baaaaanyak sangat. Cuma terpulang pada diri sendiri, sama ada nak isi atau pun tidak.

Wallahu'alam

Teruskan membaca...

Saturday 16 January 2010

Mencari Barakah dalam menuntut 'ilmu~

بسم الله الرحمن الرحيم


Sejak saya zaman sekolah, saya susah sangat nak buat kerja sendiri. Selalunya saya akan meminjam mana-mana kawan saya yang telah siap kerja, kemudian saya akan tiru. Dan biasanya perbuatan ini akan berlaku saat-saat akhir perlu hantar kerja. Akhirnya, kerja tetap siap dan tetap juga hantar seperti orang lain, cumanya saya tidak banyak absorb dengan apa yang saya buat. Jadi bila tiba ujian, saya susah nak jawab dengan baik.

Perbuatan ini berterusan hingga lah ke zaman SPM. “Alhamdulillah” dengan tabiat itu, keputusan SPM tidaklah seperti yang diharapkan. Menyedari hal ini, hidup saya berubah ketika di zaman matriks. Kesedaran itu muncul. Hati yang tulus berbisik, “Jika saya ingin berjaya, saya perlu berdikari!!” Dan kesimpulan kehidupan matriks, saya memang berjaya. Alhamdulillah.

Ketika di UTM, bila saya mula menuntut ilmu dengan cara “dewasa”, saya mula keruan. “Susah rupanya nak follow cara belajar di U.” Tapi saya cuba. Walau pun kelemahan diri (malas) sering mengatasi diri, tapi saya cuba untuk tidak ulang perbuatan saya suatu ketika dahulu. Pinjam daripada kawan-kawan atau “sempai”, siapkan kemudian hantar pada due date. Saya perasan, kawan-kawan saya turut memiliki sifat ini. Bahkan saya yakin, ramai sahaja pelajar-pelajar seluruh Malaysia yang ada tabi’at ini. Bila saya tengok mereka, saya terfikir diri saya yang dulu.

“Mana perginya barakah dalam menuntut ‘ilmu kalau sikap ini berterusan?”

Bila kuiz atau test datang, kalau saya tak dapat jawab, saya tak akan tiru atau lihat nota. Saya akan cuba jawab dengan baiknya. Kalau tak dapat jawab, alamatnya padan muka lah diri ini. Kenapa tak study? Kenapa malas? Tapi apakan daya, memang saya lebih rela dapat ‘C’ kerana kelemahan diri saya daripada saya dapat ‘A’ kerana saya merujuk nota atau tiru kawan. Sebab itulah prestasi saya di U agak berbeza dengan zaman matriks. Tidak boleh dibanggakan. Huhu~

Sebab di sana, saya cuba mencari keberkatan dalam menuntut ‘ilmu. Saya ingin faham apa yang saya pelajari. Dan andai Allah izinkan, saya ingin aplikasikan ‘ilmu saya ini untuk kepentingan ummah. Kalau lah ‘ilmu ini Allah tidak redhai, maka apalah gunanya ‘A’ itu? Mungkin dengan ‘A’ itu, kerjaya, isteri dan gaji yang lumayan mudah sahaja diperolehi tapi satu perkara yang mungkin tidak dapat adalah redha Allah. Ruginya hidup kalau ianya penuh dengan kemewahan dunia, tapi miskin dengan redha ilahi.

Saya sangat kagum pada sahabat-sahabat saya yang betul-betul berusaha dengan kudrat sendiri untuk menyiapkan kerja. Bagaimana mereka membahagikan masa dengan baik untuk akademik dan juga hal-hal lain. Kesungguhan mereka kadang-kadang membuatkan saya rasa cemburu. "Kenapa aku tak boleh jadi macam dia? Berjaya atas usaha sendiri."

Saya yakin, setiap daripada kita mempunyai kelemahan diri. Selalunya ia susah untuk di atasi. Tapi insya Allah, dengan azam yang kuat, serta doa yang berpanjangan, Allah pasti akan kurniakan barakah dan kejayaan buat kita. Tidak di dunia, akhirat jualah kejayaan mutlak yang kita akan perolehi. Yang penting bermujahadah lah. Berusalah dan yakinlah, Allah pasti akan membantu hamba-hambanya yang ikhlas.
“Ya Allah, aku berlindung pada-Mu dari rasa sedih dan gelisah. Ya Allah aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas. Aku juga berlindung pada-Mu dari sikap pengecut dan bakhil serta dari cengkaman hutang dan penindasan orang.”
Wallahu'alam

Teruskan membaca...

Friday 8 January 2010

Bangkitlah wahai ummat~

بسم الله الرحمن الرحيم

Tatkala kewafatan Rasulullah SAW, seluruh ummat Islam di jazeerah 'Arab seolah-olah hilang pendirian. Seluruh ummat Islam kesedihan kerana kehilangan insan yang cukup di sayangi dan di sanjungi.

Al-Faruq (Saidina 'Umar 'Al-Khattab), seorang sahabat Rasulullah SAW yang setia bingkas ke hadapan ummat dan memberitahu mereka,

"Sesungguhnya orang munafik menganggap bahawa Rasul Allah sudah wafat, dan sungguh demi Allah, Muhammad tidak wafat, tetapi dia pergi kepada Tuhannya sebagaimana perginya Musa bin Imran."

"Demi Allah, Rasulullah akan kembali dan biarlah ia memotong tangan orang-orang yang meganggap baginda telah wafat."

"Ketahuilah, begitu kudengar sesraong mengatakan bahawa Rasulullah telah wafat, maka aku akan belah kepalanya dengan pedangku ini."

Hingga begitu keaadan beliau. Beliau tidak dapat menerima kewafatan Rasulullah SAW kerana sayangnya beliau terhadap baginda SAW.

Andai Al-Faruq pun dalam keadaan sedemikian, apatah lagi sahabat-sahabat yang lain. Keadaan ummat Islam pada ketika itu kelihatan tidak menentu.

Abu Bakar As-Siddiq, seorang sahabat yang setia kepada Rasulullah SAW telah pun hadir ke reumah Baginda SAW untuk melihat wajah kekasih yang dicintai itu. Betapa hatinya sedih menatapi insan tersayang terbaring ditengah-tengah rumah Baginda SAW. Namun, beliau menyedari, Allah SWT telah melaksanakan urusanNya terhadap Baginda SAW. Rasulullah SAW kini telah pun bertemu kembali Rabbnya.

Beliau keluar daripada rumah dan melihat kekalutan ummah. Begitu menyedihakan sekali keadaan ummat kerana tidak dapat menerima kewafatan Rasulullah SAW, lalu beliau tampil ke hadapan untuk mengingati mereka,

"Wahai orang ramai! Siapa yang menyembah Muhammad maka sesungguhnya Muhammad telah mati."

"Dan sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah hidup selamanya dan tidak boleh mati."

Kemudian dia membacakan sepotong ayat al-Quran :
Dan tidaklah Muhammad itu kecuali seorang Rasul dan telah lewat sebelumnya rasul-rasul, maka jika ia mati atau terbunuh apakah kamu sekalian akan berpaling ke belakang? Barang siapa yang berpaling ke belakang maka ia tidak akan merugi Allah sedikitpun dan Allah akan membalas orang-orang yang bersyukur. [Ali-'Imran : 144]
Demi Allah, ummat Islam ketika itu yang mendengar ayat Allah itu seolah-olah disambar petir. Saidini 'Umar yang tadi teguh berdiri tiba-tiba jatuh ke bumi kerana lemahnya kakinya mendengar firman Allah tersebut. Betapa beliau merasakan, bagaiman boleh muncul ketabahan yang begitu utuh dalam ssat-saat yang membingungkan ini.

Ada pun, kata-kata orang mukmin itu ibarat helang yang hinggap dalam sekelip mata pada kata rahsia yang akan mengembalikan semangat ummat yang telah jatuh kepada kesedaran untuk menyambut tanggungjawab yang besar.

"Sesiapa yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad telah mati. Dan siapa yang menyembah Allah maka sesungguhnya Allah hidup selama-lamanya dan tidak boleh mati. Kalau begitu, naiklah kuda-kuda Allah. Kibarkanlah bendera-bendera Allah. Hai para pembawa panji ini, berdirilah dan pergilah serta teruskanlah perjalanan menuju matahari yang bersinar dengan agama yang baru."

Teriakan Abu Bakar As-Siddiq telah mempengaruhi jiwa-jiwa mereka. Mereka kemudian bangkit dan menuju ke tubuh mulia yang terbaring dan memberikan penghormatan yang terakhir bercampur dengan tekad yang kuat yang akan mereka pergunakan untuk menyambut tanggungjawab di masa berikutnya.

Lantaran daripada peristiwa ini, bendera Islam telah disambut oleh para sahabat untuk sebarkan Islam keseluruh pelosok bumi. Dengan berbekalkan keimanan dan ketaqwaan, mereka berusaha untuk menyampaikan cahaya Islam kepada setiap tempat yang dilalui, setiap manusia yang di temui.

Berkat usaha mereka, Islam kini bertapak di tanah air tercinta, Malaysia. Begitu murni niat dan usaha orang-orang terdahulu. Hanya Allah sahaja yang layak membalas mereka dengan sebaik-baik balasan kerana mereka telah membuktikan setiap amalan mereka.

Kini, panji-panji Islam telah diserahkan kepada generasi baru. Kini, tibalah masanya untuk generasi baru ini menyambung usaha Rasulullah SAW, para sahabat dan orang-orang terdahulu untuk menyampaikan risalah mulia ini kepada seluruh makhluk di dunia ini hingga suatu masa, seluruh makhluk akan tunduk dan patuh pada Allah, rabbul 'alamin.

Wallahu'alam
Teruskan membaca...

Tuesday 5 January 2010

Kalimah Allah~

بسم الله الرحمن الرحيم


Baru-baru ini kita didengarkan dengan isu yang cukup hangat terutama dalam kalangan ummat Islam sendiri iaitu isu penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang bukan Islam.

Saya banyak membaca blog-blog mereka yang memberikan pendapat berkaitan isu ini. Ada yang memberikan pandangan dengan hujjah dan nas yang kukuh, ada yang marah dan emotional, ada yang membuat statement atas tujuan politik dan macam-macam. Bila di baca, bermacam ragam manusia ni. Tapi itulah dia ciptaan Rabbul 'Alamin. Pelbagai.

Walau apa pun, setelah banyak pemerhatian dan bacaan di buat, insya Allah saya nak berikan pendapat saya berkaitan dengan isu ini.

Pertama sekali, kalimah Allah merupakan kalimah yang agung yang menggambarkan keEsaan dan Kemutlakan. Allah berfirman :
...dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. [At-Taubah : 40]
Ia tidak boleh direndah-rendahkan oleh sesiapa pun jua, Islam atau pun tidak.

Keduanya, setiap makhluk di muka bumi ini merupakan makhluk Allah. Tidak ada tuhan lain selain daripada Allah dan hanya Allah sahaja yang layak disembah dan diberi total kepatuhan dan ketaatan.
Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya. [Al-Ikhlas : 1-4]
Jadi, tidak ada masalah untuk mahluk menggantikan kalimah Allah dengan perkataan God. Sebab sememangnya Allah adalah tuhan sekalian alam dan makhluk.

Cuma di sana, manusia dan jin sahaja yang meng'interpretasi'kan Allah dengan bentuk dan rupa serta dengan interpretasi yang salah. Ini lah perkara yang perlu di ambil perhatian. Perlu di perbetulkan. Tetapi dengan cara yang terbaik dan boleh diterima semua (bil hikmah wa mau'izatul hassanah).

Untuk itu, bagi saya, tidak ada masalah bagi sesiapapun untuk menggunakan Allah bagi menggantikan perkataan 'God' sebab sememangnya Allah lah tuhan sekalian alam. Tapi ia perlu menjaga adab-adab ketika menggunakan kalimah Allah. Tidak boleh menghina dan mencaci Allah.

Cumanya dalam konteks negara Malaysia, saya sokong dengan tindakan kebanyakan pihak yang ingin mengharamkan penggunaan Allah untuk kegunaan orang-orang bukan Islam secara rasmi. Kerana khuatir ia akan menimbulkan banyak fitnah serta penyelewangan kefahaman dalam kalangan ummat Islam sendiri. Takut-takut gejala murtad akan lebih meningkat.

Walau apa pun, daripada isu ini, saya mengharapkan sangat kita (ummat Islam) tidak bertindak mengikut emosi dalam menangani isu ini. Tangani la ia dengan penuh keimanan, kesabaran dan kewarasan berfikiran.

Biarlah dengan tindakan kita ini, ia membuka pintu hati masyarakat yang bukan Islam supaya mereka lebih mudah menerima Islam kerana sikap ummatnya yang sabar dan syumul. Bukannya semakin menolak Islam kerana kita tidak habis-habis hendak mengecam mereka yang dalam pandangan kita, seolah-olah menghina Islam.

"Kalaulah ada orang membaling kita dengan batu, kita berikan mereka senyuman dan buah."

Wallahu'alam
Teruskan membaca...

Sunday 3 January 2010

Doa Rabithah~

بسم الله الرحمن الرحيم

Setiap kali bila saya habis bertemu dengan sahabat-sahabat seperjuangan dan ketika hendak berpisah, saya akan pastikan doa ini yang saya baca. Sebuah doa yang cukup menyentuh hati dan menanamkan motivasi yang cukup tinggi dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang tak menentu.

Untuk itu, saya nak kongsikan doa ini kepada anda dan juga semua sahabat-sahabat yang ikhlas berjuang kerana Allah. Semoga Allah mengikat hati-hati kita dan memberikan kekuatan kepada kita untuk menghadapi setiap mehnah-Nya dengan tabah.

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu

Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu

Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..

Wallahu'alam
Teruskan membaca...

Friday 1 January 2010

Peribahasa dan alam~

بسم الله الرحمن الرحيم
"Haaa~ cuba ko bagi tau pak cik cket, binatang apa yang paling selalu orang pakai dalam peribahasa melayu?" ujar pak cik pemandu teksi.

Saya baru pulang daripada buat ct-scan otak saya selasa yang lepas. Balik ke UTM, saya naik teksi. Dalam perjalanan pulang, macam-macam yang saya borakkan dengan pak cik pemandu nie. Entah macam mana, tetiba je cerita pasal peribahasa.

"Err...lembu kot?" saya cuba meneka.

"Laaa~ lembu memang la ada. Tapi sikit. Ko tau tak sebenarnya?" tanya lagi pakcik tuh.

"Hmm...saya tak pasti la pakcik. Maklum la, otak orang muda." Jawab ku dengan penuh rendah diri. Maklum la. Nak jaga hati pak cik nie. Huhu~

"Haaa~ tu la orang muda zaman sekarang nie. Tak tahu. Tak pe pakcik bagi tau. Jawapannya ayam. Kenapa agak-agaknya ayam yang banyak digunakan dalam peribahasa?" Tanya lagi pakcik nie.

"Err...sebab orang dulu-dulu banyak bela ayam kat kampung?" Jawabku dengan hati-hati.

"Haha~ pandai jugak ko nie. Nasib baik betul. Orang dulu-dulu, diorang biasa bila duduk sama-sama kat depan rumah, bila bercerita, selalu dapat ilham daripada alam. Lagi-lagi dengan apa yang diorang nampak. Biasa kat depan rumah, ayam berlari-lari. Haaa~ kat situ la dia dapat peribahasanya." Jawab pakcik ni dengan penuh konfiden.

"Hmm....betul jugak ek." fikirku sendirian.

"Contohnya, macam 'Hangat-hangat tahi ayam','carik-carik bulu ayam','ayam bertelur di atas padi'...macam-macam lagi haaa~" ceritanya lagi.

"Sampaikan sekarang kata-kata diorang nie, kamus dewan pakai. Sampai masuk Universiti lagi. Diorang tengok alam je. Tak yak nak susah masuk universiti." Tambahnya lagi.

hmm...memang ada benarnya jugak kata pakcik nie. Banyak juga peribahasa yang dibuat orang-orang terdahulu yang kini masih releven dengan keadaan kita serta masih lagi digunakan oleh kamus dewan.

Bila terfikir kata pakcik nie, teringat pula saya pada firman Allah :
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal;(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah sesama mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka. [Ali-'Imran : 190-191]
Orang zaman sekarang memang tinggi 'ilmunya, mantap pengurusannya tapi sejauh manakah mereka melihat tentang kebesaran Allah pada amal mereka? Apakah mereka hanya melihat fizik semata-mata? atau kah dengan kanta keimanan, mereka sepatutnya melihat kebesaran Allah di mana jua mereka berada?

Andai kita mengerti, di sana kita akan melihat, iman sebenarnya mampu mencorak pandangan kita daripada pandangan yang sempit kepada pandangan yang cukup luas dan meliputi hakikat dan pengertian kehidupan.

Suburkanlah benih iman dengan air taqwa dan baja kesabaran agar ia mekar menjadi pohon yang rimbun didalam hati kita.

Wallahu'alam

Teruskan membaca...